Wednesday, June 15, 2011

Menara Warisan Merdeka Akan Diteruskan Jika Berdaya Maju – Najib

Menara Warisan Merdeka Akan Diteruskan Jika Berdaya Maju – Najib

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Cadangan Permodalan Nasional Bhd untuk membina menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat, akan diteruskan hanya jika ia berdaya maju dari segi komersil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Beliau berkata projek itu juga mesti menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih besar dalam bidang tertentu dan menyediakan peluang perniagaan.

“Projek itu mesti memenuhi keperluan itu dan jika syarat ini dipenuhi, ia boleh diteruskan.

“Ia mesti menyediakan dorongan dan pemangkin untuk Kuala Lumpur yang lebih luas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean ke-7 bertema “Discovering Tomorrow’s Asean”, di sini.

Pada Isnin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata menara tinggi tidak diperlukan di negara ini kerana terdapat tanda-tanda lebihan hartanah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada Permodalan Nasional untuk membuat perkiraan kewangan.

Mengenai persepsi bahawa Warisan Merdeka akan menenggelamkan Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat, yang diilhamkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: “Ia merupakan kenyataan yang semberono. Kita bercakap mengenai kesinambungan.

“Apa yang sudah dilakukan oleh Tun Mahathir disanjung tinggi, namun kita perlu meneruskan kejayaan beliau dan bergerak dan memajukan Malaysia.”

Selain itu, beliau berkata Warisan Merdeka merupakan projek 10 tahun dan melepasinya dan kawasan di sekitar Stadium Merdeka, lokasi projek itu, merupakan kawasan strategik.

“Ia projek jangka panjang. Ia bukan untuk 2-3 tahun.

“Jika anda lihat latar langit Kuala Lumpur pada 2020, ia tidak boleh sama seperti hari ini. Pudong di Shanghai mempunyai banyak bangunan pencakar langit. Pastinya lebih banyak lagi.

“Baik kita bayangkan KL pada tahun 2020. Cuba lihat perspektif jangka panjang. Lebih-lebih lagi jika wawasan 2020 direalisasikan, ia merupakan wawasan yang diilhamkan sendiri oleh Tun Mahathir,” kata Najib.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment