Saturday, June 25, 2011

Malaysia Mahu Negara Islam Tumpu Pelaburan Perkhidmatan Dan Pembuatan

Malaysia Mahu Negara Islam Tumpu Pelaburan Perkhidmatan Dan Pembuatan

IPOH, 25 Jun – Malaysia akan mengusulkan supaya negara-negara Islam berusaha menjadi negara pengeluar dengan menumpukan kepada pembangunan sektor perkhidmatan dan pembuatan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan pada mesyuarat Bank Pembangunan Islam yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, Rabu ini.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan mempunyai pasaran yang begitu luas, terutama dalam bidang halal yang semakin berkembang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Koperasi Masjid Perak Berhad (KOMAS) di sini hari ini.

“Pada mesyuarat yang akan dihadiri seramai 57 Menteri Kewangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) itu, kita akan mencadangkan pelaburan dalam pasaran halal yang mempunyai potensi besar,” katanya.

Malaysia juga akan mencadangkan penubuhan Dana Kekayaan Negara (SWF), untuk pelaburan dalam bidang halal, terutama perkhidmatan dan pembuatan, kata Ahmad Husni.

Beliau berkata negara Islam yang mempunyai sumber kewangan menerusi sektor minyak dan banyak melabur di Amerika Syarikat dan Eropah, kini mengenal pasti peluang untuk pelaburan lain.

Untuk itu, katanya, Malaysia mencadangkan penubuhan SWF yang boleh digunakan untuk dilaburkan dalam bidang ekonomi dan untuk tabung pembangunan negara-negara Islam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia menjemput New Zealand untuk menghantar pakar dalam bidang ekonomi dan kewangannya untuk mempelajari Sistem Ekonomi Islam di Bank Negara Malaysia.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan New Zealand sebelum ini, negara itu amat berminat dalam bidang ini…dan kita jemput beberapa pakar dari sana untuk mempelajari sistem yang telah kita wujudkan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata menerusi persefahaman berkenaan, adalah diharapkan ia akan membuka peluang kepada pelabur tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke negara berkenaan.

http://www.kitagempur.com/index.php?page=articles&op=readArticle&id=3939&title=Malaysia-Mahu-Negara-Islam-Tumpu-Pelaburan-Perkhidmatan-Dan-Pembuatan

No comments:

Post a Comment