Monday, December 13, 2010

Ketuanan Melayu: Usah sorok sebalik songkok 3 jengkal

Ketuanan Melayu: Usah sorok sebalik songkok 3 jengkal

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat di negara ini, khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

“Hari ini, isu perlantikan timbalan perdana menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Umno serah kerusi Ketua Menteri

Nik Aziz mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di negara ini.

“Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini.
Salah lapor budaya media Umno

“Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?” soalnya.
Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan petugas media milik Umno.

“'Islam plastik' yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai 'Islam Palestin'.

Menurut mursyidul am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.
Songkok tiga jengkal

“Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.

“Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!” katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.


Anwar: Tak perlu persoal bukan Melayu jadi TPM

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan mana-mana pemimpin bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13 tidak perlu dipersoalkan.

Beliau berkata kaum-kaum lain di Malaysia harus diberi peluang untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri, lapor Bernama

Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika mengulas laporan media bahawa beliau telah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Anwar dilaporkan dalam satu temu bual dengan harian berbahasa Cina pada 26 Nov lepas, membuat tawaran itu.
Menurut laporan agensi berita itu lagi, kenyataan Anwar nampak berbeza dengan pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Pakatan tidak pernah memutuskan melantik sesiapa sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri, dan kenyataan Anwar sebelum ini adalah pandangan peribadi.

Abdul Hadi ketika ditemui pemberita di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 kelmarin berkata beliau tidak mengetahui langsung mengenai pelantikan Lim sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan itu menang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Anwar, ketika diminta pemberita mengesahkan adakah beliau akan melantik Lim berdasarkan kenyataannya dalam temu bual dengan harian berkenaan, berkata kenyataannya telah diputarbelitkan oleh media.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. Dalam perkembangan lain, Anwar berkata beliau sudah menjangkakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pilihan raya lebih awal dan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi untuk menangguhkan pemilihan parti, yang sepatutnya diadakan tahun depan, adalah bagi tujuan itu.

MT Umno menangguhkan pemilihan parti itu di peringkat cawangan, bahagian dan MT tahun depan selama 18 bulan dan Najib dilaporkan berkata keputusan itu adalah bagi memperkukuhkan parti.

Anwar mendakwa pemimpin Umno tidak berani mengadakan pemilihan parti mengikut sistem pengundian baru yang diluluskan tahun lepas, dan hanya pandai menyerang partinya.

Beliau juga meminta Najib menyatakan tarikh pilihan raya umum akan diadakan.

"Saya cabar Najib membuktikan beliau mengamalkan demokrasi dan saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai pengundi dan biar rakyat buat keputusan," kata beliau.

- Bernama

Anwar: Ketuanan Melayu, hubungan tuan dan hamba

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang partinya, PKR menolak konsep Ketuanan Melayu berkata konsep itu hanya mencerminkan hubungan 'tuan' dan 'hamba'.

Katanya, isu itu dieksploitasi oleh Umno dan BN melalui lidah rasminya, Utusan Malaysia dengan memutarbelitkan fakta berhubung isu ketuanan rakyat yang dibangkitkan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan kongres PKR minggu lalu.

"Dalam Agenda Ekonomi Malaysia yang kita perkenalkan, kita menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana ia hanya menguntungkan segelintir walaupun permasalahannya adalah terdiri daripada majoriti masyarakat Melayu / Bumiputera dan di kalangan orang Cina dan India miskin yang menjadi teras program kita.

"Jikalau kita lihat maksud 'tuan', ia bermakna yang berkuasa atau yang memiliki, jadi bagaimana pula tentang kedudukan orang Iban, Kadazan, Cina dan India?

"Kita menolak ketuanan yang cuba diputarbelitkan Umno-BN dan Utusan sebagai cuba menolak Perlembagaan Negara,” kata anwar di lobi parlimen hari ini.

Menurut Anwar yang juga ketua umum PKR, apa yang jelas adalah setiap ucapan dan pendirian PKR dan Pakatan Rakyat mengenai isu bahasa Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-raja Melayu tidak pernah dipertikaikan. Malah, katanya, ia dipertahankan.

"Yang tuan itu adalah kedudukan Raja dan sebab itu disebut Yang di-Pertuan Agong, Yam Tuan Negeri Sembilan. Kedudukan itu kita tidak dipertikaikan.

Justeru, beliau berharap agar isu tersebut tidak dipolitikkan.

Source: Emails

No comments:

Post a Comment