Saturday, November 14, 2009

CAP gesa haramkan air botol plastik

CAP gesa haramkan air botol plastik
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan air dalam botol plastik kerana ia boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar.Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, anggapan air yang dibotolkan adalah menyihatkan dan bebas kalori berbanding minuman ringan adalah tidak benar kerana ia tidak mempunyai jaminan seumpamanya.

Menurut beliau, penghasilan botol plastik yang digunakan juga menjana lebih 100 kali ganda bahan toksik yang mampu melarut resap ke dalam air.''Proses menghasilkan dan mengangkut botol yang digunakan juga boleh menjejaskan alam sekitar kerana kebanyakan botol terpakai akan dilambak ke tapak pelupusan sampah.

''Dianggarkan 1.5 juta tong minyak mentah digunakan setiap tahun di seluruh dunia bagi menghasilkan plastik untuk membotolkan air, ia pula diangkut dalam jarak jauh untuk diedar dan membakar sejumlah besar minyak.''

Jadi, dalam proses tersebut apabila botol menjadi panas ia mula merembes bahan kimia ke dalam air walaupun botol belum dibuka dan ini yang boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, menurut kajian Dr. Ken Smith dari Jabatan Kimia Persekitaran, Persatuan Bahan Kimia Amerika Syarikat, meninggalkan botol air dalam kenderaan boleh mengubah keseimbangan bahan kimia dalam botol menyebabkan ia mudah resap ke dalam air.''

Pada 2006, saintis dari Jerman pula mendapati sejenis bahan toksik yang digunakan dalam pembuatan botol selain meresap dengan cepat ia juga boleh menjadi sangat bertoksik jika semakin lama disimpan.

''Dianggarkan penduduk negara ini meminum lebih 100 juta botol air setahun dan harganya pula ada serendah 40 sen jika dibeli secara karton di pasar raya dan setinggi RM5 sebotol di hotel-hotel.''Pada masa sama, ramai pengguna tidak menyedari bahawa botol dengan tudung yang berwarna adalah untuk air biasa sementara botol bertudung putih adalah untuk air minuman yang disuling," ujarnya.

Beliau berkata, para pengguna sebenarnya terpengaruh dengan iklan yang kononnya mengaitkan meminum air dalam botol dengan sesuatu yang glamor, canggih, kaya atau untuk kesihatan.Sehubungan itu, S.M. Mohamed menasihatkan para pengguna supaya meminum air paip walaupun ia biasanya mempunyai kandungan klorin, namun ujian rawak membuktikan bahawa terdapat perbezaan di antara air paip dan yang dibotolkan.

''Biarkan air paip mengalir seketika sebelum minum bagi mencegah rasa air yang kurang enak kerana ia berada sekian lama dalam paip, pada masa sama campur perahan limau atau lemon bersama ketulan ais ia akan jadi enak dan menyegarkan," katanya.
- UTUSAN

No comments:

Post a Comment